INGIN IKLAN ANDA DISINI ?
Dapatkan Tawaran Menarik
Silahkan Kontak Admin
Terima Kasih


Penjelasan pengertian, klasifikasi dan contoh hadis hasan - Al-Hasan dari segi bahasa ia adalah sifat musyabbahah daripada al-husn yang bererti keindahan. Dari segi istilah ulama berbeda pendapat dalam memberikan definisi hadis hasan memandangkan ia berada di tengah-tengah antara sahih dan dha`if.
Sebahagian ulama mendefinisikan salah satu bahagiannya sahaja. Bagaimanapun penulis akan menyebutkan sebahagian daripada definisi-definisi tersebut dan akan memilih definisi yang dirasakan paling tepat.

Definisi al-Khattabi: Hadis yang diketahui pancanya dan perawi-perawinya masyhur lagi dikenali. Kebanyakan hadis tergolong dalam hadis hasan dan ia diterima oleh kebanyakan ulama dan diamalkan oleh kesemua fuqaha’.

Definisi al-Tirmizi: Setiap hadis yang diriwayatkan tanpa ada di dalam sanadnya perawi yang dituduh berdusta, hadis tidak syaz, diriwayatkan dengan jalan yang lain seperti itu juga, maka itu menurut kami adalah hadis hasan.

Definisi Ibn Hajar: Khabar (hadis) ahad dengan nukilan perawi adil, sempurna ketepatan, bersambung sanad tanpa ada `llah dan syaz, maka itu adalah sahih lizatih. Sekiranya ketepatannya kurang, maka ia adalah hasan lizatih. 

Penulis berpendapat, seolah-olah, hadis hasan menurut Ibn Hajar adalah hadis sahih apabila ketepatan perawinya rendah dan ini adalah definisi hadis hasan yang paling baik. Sementara definisi al-Khattabi, terlalu banyak kritikan kepadanya.

Manakala definisi al-Tirmizi, beliau hanya mendefinisikan salah satu bahagian hadis hasan sahaja yaitu hasan lighairih. Sepatutnya beliau memberikan takrif hasan lizatihi kerana hasan lighairih adalah hadis dha`if yang meningkat ke darjah hasan kerana ditampung oleh banyak sanad.

Berdasarkan kepada definisi Ibn Hajar, hadis hasan bolehlah didefinisikan sebagai: “Hadis yang bersambung sanadnya dengan nukilan perawi yang adil tetapi rendah ketepatannya daripada perawi sepertinya sehingga ke hujung sanad tanpa sebarang syazz dan ```illah.”


Ia seperti hadis sahih dari segi boleh untuk dijadiakan hujah walaupun dari segi kekuatan ia lebih rendah. Oleh kerana itu, semua fuqaha beramal dengannya. Kebanyakan ulama hadis dan ulama usul berhujah dengannya kecuali segelintir dari kalangan yang berpandangan keras. Bagaimanapun sebahagian ulama hadis yang bersikap mudah seperti al-Hakim, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah telah memasukkannya ke dalam bahagian sahih walaupun mereka berpendapat hadis hasan lebih rendah daripada hadis sahih seperti yang dijelaskan sebelum ini.


Hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi:
حَدَّثَنَا قُتَيبةُ حَدَّثَنَا جعفرُ بنُ سليمانَ الضُّبعيُّ عن أبي عمرانَ الجونيُّ عن أبي بكرِ بنِ أبي موسى الأشعريِّ قال سمعتُ أبي بحضرةِ العدوِّ يقول قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّم: إنَّ أبوابَ الجنَّةِ تحتَ ظلالِ.
Kata beliau: “Qutaibah telah menceritakan kepada kami bahwa Ja`far bin Sulaiman al-Dhuba`i telah menceritakan daripada Abi `Imran al-Jauni daripada Abi Bakar bin Abi Musa al-`Asy`ari berkata: “Saya mendengar ayah saya berkata ketika berhadapan dengan musuh: “Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya pintu-pintu syurga berada di bawah naungan pedang-pedang.”
Hadis ini dihukumkan oleh al-Tirmizi sebagai hadis hasan gharib. Hadis ini hasan kerana perawi-perawi yang empat bagi sanad ini kesemua adalah thiqah kecuali Ja`far bin Sulaiman al-Dhuba`i. Beliau seorang hasanul hadis. Oleh kerana itu hadis ini jatuh dari martabat sahih kepada hasan.


Sebagaimana hadis sahih mempunyai martabat yang berbeda antara satu sama lain, begitu juga dengan hadis hasan. Al-Zahabi telah membagi hadis hasan kepada dua martabat: 

Martabat hasan yang paling tinggi: Riwayat Bahz bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya, `Amr Ibn Syu`aib daripada bapanya daripada datuknya, riwayat Ibn Ishaq daripada al-Taimi dan yang seumpamanya yang dikatakan sebagai sahih. Martabat ini adalah martabat sahih yang paling rendah. 
Martabat hasan yang rendah: Yaitu hasan yang dipertikaikan kedudukannya, ada yang mentashihkan dan ada yang mendaifkan seperti hadis al-Harith bin Abdullah, `Asim bin Dhamrah, Hajjaj bin Artah dan lain-lain. 


Kata-kata ulama hadis: “Ini hadis Sahih al-Isnad” tidak sama dengan kata-kata mereka: “Ini hadis sahih”. Begitu juga kata-kata mereka: “Ini hadis hasan al-Isnad” tidak sama dengan “Ini hadis hasan”. Kadang-kadang sanad itu sahih atau hasan tetapi tidak pada matan kerana ada syazz dan `llah. 

Seolah-olah apabila ulama hadis mengatakan: “Ini hadis sahih”, beliau telah menjamin kepada kita bahwa hadis ini memenuhi kelima-lima syarat-syarat hadis sahih. Sekiranya beliau mengatakan: “Ini hadis sahih al-Isnad”, beliau menjamin adanya tiga syarat sahih sahaja yaitu bersambung sanad, keadilan dan ketepatan para perawi. Adapun penafian syazz dan `llah, itu tidak diberi jaminan oleh beliau kerana ketidakpastian kedua-duanya itu.

Bagaimanpun jika seorang Hafiz yang diakui hanya menyebutkan hadis ini sahih al-Isnad tanpa menyebut ``llahnya, maka pada zahirnya, matan itu adalah sahih kerana kaedah asal ialah tidak ada `llah dan tidak ada syaz.


Zahirnya, ungkapan ini mengelirukan, kerana hasan lebih rendah daripada darjah sahih. Bagaimana boleh dihimpunkan kedua-duanya sedangkan martabat kedua-duanya berbeda? Para ulama telah memberikan berbagai jawapan kepada maksud ungkapan al-Tirmizi ini. Jawapan yang paling baik ialah yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dan dipersetujui oleh al-Suyuti, kesimpulannya seperti berikut:

Sekiranya hadis itu mempunyai dua sanad atau lebih, ungkapan itu bermaksud hasan berdasarkan satu sanad dan sahih berdasarkan kepada satu satu lagi. 
Sekiranya hadis itu hanya mempunyai satu sanad, maksudnya ialah hasan menurut satu kumpulan ulama dan sahih menurut yang lain. Seolah-olah beliau memberikan isyarat tentang perbedaan pendapat di kalangan ulama tentang kedudukan hadis ini, atau baginya hadis ini tidak boleh ditentukan sama ada sahih atau hasan. 


Al-Imam al-Baghawi telah menggunakan istilahnya yang tersendiri di dalam kitabnya, Masabih al-Sunnah. Beliau telah mengisyaratkan hadis-hadis yang terdapat di dalam dua kitab sahih atau salah satunya dengan kata-katanya:“sahih” dan hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab sunan yang empat dengan kata-katanya: “hasan”. Ini adalah istilah yang tidak selari dengan istilah umum dipakai di kalangan ulama hadis kerana di dalam kitab-kitab sunan yang empat itu terdapat hadis sahih, hasan, dha`if dan munkar. Oleh kerana itu, Ibn al-Salah dan al-Nawawi memberi peringatan tentang perkara ini. Dengan itu, sepatutnya pembaca kitab Masabih al-Sunnah lebih peka dengan istilah al-Baghawi di dalam kitab ini apabila beliau menyebut tentang hadis-hadis sebagai sahih atau hasan.


Para ulama tidak menulis secara berasingan hadis-hadis hasan di dalam satu kitab seperti mana mereka mengkhususkan hadis-hadis sahih sahaja dalam tulisan mereka. Namun begitu terdapat beberapa kitab hadis yang terdapat di dalamnya banyak hadis hasan, antara yang masyhur ialah:
  1. Jami` al-Tirmizi atau yang lebih dikenali sebagai Sunan al-Tirmizi. Ia adalah sumber utama untuk mengetahui hadis hasan. Al-Tirmizilah yang memasyhurkan istilah hasan di dalam kitab ini dan orang yang paling banyak menyebutkannya. Bagaimanapun kita harus berhati-hati tentang edisi yang berbeda-beda berhubung dengan kata-kata beliau: “hasan sahih” dan sebagainya. Adalah menjadi tanggungjawab pelajar hadis memberi perhatian dalam memilih edisi yang telah dinilai dan membandingkan dengan manuskrip asal yang diakui. 
  2. Sunan Abi Daud: Beliau telah menyebutkan di dalam suratnya kepada penduduk Mekah bahwa beliau menyebutkan di dalam sunannya hadis sahih, hadis yang menyerupainya dan hadis yang hampir dengannya. Sekiranya hadis itu mempunyai kedha`ifan yang kuat, beliau akan menjelaskannya dan hadis yang tidak disebutkan apa-apa tentangnya maka itu adalah salih. Berdasarkan kepada kenyataan ini, apabila kita mendapati di dalam sunan ini hadis yang beliau tidak menjelaskan kedha`ifannya dan tidak ditashihkan oleh mana-mana imam yang diakui maka itu adalah hadis hasan di sisi Abu Daud. 
  3. Sunan al-Daruqutni: Beliau menyebutkan dengan jelas kebanyakan hadis hasan di dalam kitab ini.

Posting Komentar Blogger